Ucapan Perbahasan Pindaan Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera YB Wong Hon Wai pada 11-10-2021
------------------------------------------------------------------------------------------------------
Video here: https://fb.watch/8IqFUlJK1W/
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin turut membahas tentang pindaan Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 dan saya membaca Laporan Tahunan KWAN berakhir tahun 2019.
Jumlah dana terkumpul ialah RM19.2 bilion. Saya tadi mendengar Yang Berhormat Menteri melaporkan bahawa dana terkumpul semasa ialah RM20.9 bilion. Oleh kerana laporan tahunan KWAN 2020 belum ada atas meja Ahli Parlimen, saya minta Yang Berhormat Menteri untuk berikan butiran apa yang berlaku tahun 2020-2021 jumlah perbelanjaan dan jumlah pendapatan secara ringkas supaya masyarakat kita tahu apa berlaku pada dua tahun ini.
Ini kerana tujuan asal KWAN ialah untuk sebagai satu Dana Kekayaan Negara, wang berkenaan dengan sumber asli seperti dimasukkan dalam seksyen-seksyen penubuhan, Akta Kumpulan Wang Amanah ini.
Tadi saya mendengar pembahas-pembahas lain yang menyatakan bahawa perlu ada transparency, perlu ada pemantauan terhadap Dana KWAN. Saya setuju dengan mereka. Kalau kita rujuk kepada dua buah negara yang mempunyai dana kekayaan negara sedemikian, salah satu ialah Timor-Leste. Timor-Leste juga mempunyai petroleum fund yang telah ditubuhkan pada tahun 2005. Akan tetapi sehingga tahun 2018, Timor-Leste Petroleum Fund sudah mengumpulkan USD15.8 ataupun RM65 bilion jauh melebihi KWAN.
Oleh itu, saya ingin menanyakan sama ada kenapa dana terkumpul KWAN begitu kurang berbanding dengan sebuah negara yang baru mencapai kemerdekaan Timor-Leste yang baru mempunyai dana sedemikian pada tahun 2005.
Saya juga ingin merujuk kepada negara Norway. Norway sovereign fund dan perbezaan Norway dengan Malaysia, perundangan kita memberikan satu kuasa yang begitu besar tanpa had-had tertentu kepada kerajaan untuk menggunakan dana kekayaan ini. Di Norway telah dihadkan hanya tiga peratus setahun daripada value of the fund boleh digunakan oleh kerajaan dengan kekangan-kekangan legislatif. Akan tetapi kita begitu senang, kita melalui Ordinan Darurat boleh guna.
Saya juga ingin menanyakan Yang Berhormat Menteri rasional keputusan menggunakan KWAN sama ada melalui pinjaman adakah lebih murah berbanding penggunaan dana KWAN.
Ini seperti tadi pembahas-pembahas kita yang telah membangkitkan tadi Yang Berhormat Menteri menggunakan Projek Paya Indah Wetland sebagai justifikasi RM42 juta penggunaan KWAN. Sebenarnya itu satu justifikasi yang lemah kerana sepatutnya amaun tersebut RM42 juta itu tidak harus disalurkan dari KWAN. Ia harus digunakan daripada dana pembangunan yang lain.
Tadi kita telah meluluskan menaikkan had siling statutori untuk hutang kita daripada naik lima peratus. Tadi saya sebut ia telah membuka ruang fiskal RM70 bilion kerana kalau kita mengenakan nominal GDP kita tahun 2020, RM1.4 trilion, ruang fiskal yang diwujudkan tadi melalui perundangan tersebut five percent ialah RM70 bilion. Walau perundangan tadi kita hanya wang COVID-19 Fund kita meluluskan RM45 bilion, so memang kita ada ruang fiskal yang begitu besar yang telah dibenarkan, yang dibenarkan oleh legislatif.
Saya ingin mengingatkan kepada kerajaan sejarah pada tahun 2003, had hutang statutori kita 40 peratus sahaja. Kemudian dinaikkan kepada 55 peratus tahun 2009. Tahun 2020 – 60 peratus dan sekarang dinaikkan 65 peratus. Oleh itu, kita perlu prudence dalam perbelanjaan kita dań perlu transparent dalam segala perbelanjaan kita. Saya meminta penjelasan tentang kegunaan dana-dana KWAN seperti yang saya sebut tadi.
Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
No comments:
Post a Comment